Hari pertama puasa. Jujur aku katakan yang aku tidak tahu sama ada bersedia atau tidak untuk puasa kerana GDM dan masalah injap jantung ini.

Ubat jantung yang aku ambil itu sangat melawaskan kencing dan menyebabkan aku cepat dehydrate.

Seperti biasa sediakan sahur dan makan bersama keluarga. Siap niat puasa ramadan sebulan.

Hari ini cek up di KKIA Sri Rampai. 

Soalan awal yang ditanya doktor, “Apa yang puan faham dengan keadaan jantung puan ini?”

“Saya sudah jumpa dua cardiologist iaitu di HKL dan Serdang. Mereka beritahu ada masalah injap bocor. Itu saja. Kemudian beri ubat ini,” langsung aku keluarkan 2 ubat jantung yang diprescribe oleh Serdang dan MFM dengan nasihat IJN. 

“Lagi?” tanya doktor.

“Mereka tak terang banyak. Saya cuba juga cari sendiri maklumat sebab tidak jelas. Setahu saya Injap mitral jantung saya ada masalah dan ia menyebabkan aliran darah berpatah balik. Itu saja”

“Ok. Sudah betul cuma tidak lengkap.” Lalu beliau memberi penerangan dengan lebih lengkap serta melukis rajah ringkas di atas kertas.

“Tahu apa risiko dan akibat apabila berlaku begini?”

Aku geleng sebab semamangnya tidak pernah diberitahu oleh cardiologist sebelum ini. Info yang aku dapat secara tidak rasmi itu ada namun aku tidak mahu berpegang pada fakta dari sumber tidak rasmi.

“Keadaan jantung seperti ini boleh saja bila2 masa jadi haywire menyebabkan puan jatuh kena strok dan sudah tentu bayi juga akan terjejas.” Ya, memang takut lagi seram dengar benda begini. Minta simpang.

Ketakutan itu hampir sama saja bila dengar Dr. Munis MFM HKL beritahu, “Your heart need to be repair.” Namun aku selalu cari alasan untuk mewujudkan kebarangkalian perkara-perkara yang lebih baik. Aku simpan rasa takut itu dan tidak menunjukkan reaksi takut kepada doktor.

‘Tentu ada berita-berita baik nanti daripada cardiologist IJN.’ Hatiku mencongak sendirian sambil berusaha menenangkan diri sendiri.

Kemudian beliau terus menerangkan dengan lebih detail cara pengambilan ubat jantung itu. Wajib ambil setiap hari. Hakikatnya ada saja yang aku tinggal. Masih rasa seperti ambil suppliment saja.

“Frusemide ini untuk mengurangkan bebanan kerja jantung. Digoxin untuk sekatakan rentak jantung. Wajib ambil jangan tinggal.” Aku angguk.

“Puasa?”

“Ya.” 

“Saya nasihatkan tidak perlu puasa.”

“Kalau GDM saja boleh puasa itupun kena pantau bimbang hypo. Tetapi disebabkan jantung begini badan akan cepat letih. Tambahan kesan ubat jantung ini pun memerlukan tenaga yang cukup. Kerja-kerja harian lain puan perlu buat juga bukan boleh rehat pun. Betul kan.” 

“Doktor seorang muslim?” Aku meminta kepastian kerana rupa paras beliau seperti lelaki India.

“Ya.”

“Baik. Pandangan doktor muslim saya pegang.”

Sambungnya lagi, “Saya bukan ustaz atau mufti tetapi itu pandangan saya sebagai doktor. Tidak perlu puasa dan saya yakin di sana nanti puan pun tidak akan dipersalahkan. Saya faham kalau boleh kita mahu puasa dan buat yang terbaik sebab belum tentu kita jumpa ramadan tahun depan.”

Apa perasaan saya? Adakah orang terfikir saya gembira dengan tidak perlu berpuasa? Oh!, tidak ada langsung rasa gembira walaupun sekelumit. Hilang sebahagian kemanisan Ramadan. 

Apa yang banyak dirasa adalah takut selebihnya ragu-ragu dengan diri sendiri kerana entah jawapan yang bagaimana lagi yang aku mahu aku pun tidak tahu dalam usaha pujuk diri sendiri yang kini banyak kekurangan. Tunggu cardiologist IJN lusa nanti. Ya, betul tu. Mungkin ada info yang lebih baik.

Sabar dan reda dengan ketentuan Tuhan. Itulah yang terbaik. Kita ikut nasihat yang lebih pakar.

“On semula pengambilan zincofer sebab hemoglobin rendah,” arah beliau merujuk keputusan darah terkini.

“Baik,” akur saja itu lebih mudah.