Dalam hidup ini kita tidak lepas daripada diuji. Diuji dengan kerenah manusia memang selalunya mencabar kesabaran kita. Sabar kita pun bukanlah tebal mana, hanya senipis kulit bawang.

Apabila dimarah oleh bos, ketua atau sesiapa saja kita cuba bertahan, bersabar dengan memberikan respons yang baik. Kita yang penat baru pulang kerja dan perlu menghadap periuk belanga di dapur bagi menyediakan juadah malam dan tiba-tiba anak bergaduh, juga perlu bersabar dan tahan diri daripada marah. Sabar dan terus sabar lagi. Sampai bilakah sabar kita akan bertahan?

Mari saya kongsikan satu tip bagi menghadapi situasi-situasi yang selalu ‘menaikkan darah’ kita ini. TUKAR SABAR KEPADA SYUKUR!

Ringkas saja tipnya. Mengapa perlu tukar sabar kepada syukur? Ini kerana kita tidak mampu menahan sabar. Apa-apa sikit, sabar. Kena marah, sabar. Anak meragam, sabar. Kerja susah, sabar. Sampai bila sabar kita akan bertahan agaknya.

Nah! Alihkan sabar menjadi syukur.

Ibu marah. Syukur. Dialah yang melahirkan aku. Dia yang sangat risau bila aku sakit. Dia tidak mahu aku susah. Dia sayang aku.

Ketua marah. Syukur. Dia banyak buka peluang untuk aku belajar. Dia bantu aku. Ingat kebaikan yang Allah pernah beri melalui ketua kita.

Anak bergaduh. Syukur. Ada anak-anak begini tandanya mereka sihat. Kanak-kanak yang diam terbaring, tandanya dia sakit.

Apabila sakit. Syukur. Allah berikan ingatan kepada aku. Dosa diampunkan. Allah sayang aku.

Seterusnya… dan seterusnya lagi.

Adaptasi tip ini dengan situasi masing-masing. Jangan biarkan iblis syaitan membisikkan perkara-perkara tidak baik ke dalam diri kita. Senyum dan terus senyum.

~Nurulhilyati Abdul Halim~