Selepas selesai menyunting tiga bab, dia keletihan. Berhenti daripada menghadap manuskrip itu lalu menjamah roti coklat bagi melapik perut yang lapar.

Sebenarnya sudah dua minggu dia berhempas pulas menyunting manuskrip ‘buruk’ itu. KPI bulan ini pasti ‘lari’ kerana manuskrip itu menyebabkan jadual produksinya terbabas dan menjejaskan jadual produksi manuskrip lain.

Dia sudah menyatakan pandangan kepada bosnya selepas mengkaji manuskrip ini bahawa ia tidak boleh diterbitkan. Hal ini kerana, walaupun kandungannya bagus, tetapi indeks kebolehbacaannya tinggi, sesuai untuk profesor saja. Sedangkan sasaran pembacanya adalah dalam kalangan mereka yang biasa-biasa saja, lepasan SPM.

Bos kata, “Suntinglah supaya dapat merendahkan indeks kebolehbacaannya.” Bos tidak mahu menerima pandangannya, mungkin kerana bos juga ada janji dengan penulis, tidak mahu memungkiri janjinya. Baiklah. Dihubunginya penulis itu dan menyatakan apa yang perlu dilakukan oleh penulis bagi ‘mencantikkan’ karyanya. Bewarna-warni manuskrip dengan pelbagai tanda bagi membimbing penulis mencantikkan karyanya.

Sekembalinya manuskrip kepadanya selepas sebulan, gaya penulisan masih sama! Ya, bukan mudah mengubah gaya penulisan. Perlu latihan yang banyak. Perlu juga tahu teknik asas menulis.

Selepas berhempas-pulas sunting sana sini, memurnikan hampir setiap ayat, cek maklumat itu ini, baru habis tiga bab. Bergenang juga matanya kerana mula rasa letih, kecewa dan tertekan.

“Ya Tuhan. Apakah ini? Ini manuskrip paling buruk pernah aku ‘pegang’. Bagaimana manuskrip seburuk ini boleh terlepas masuk dalam jadual penerbitan? Siapa yang tidak buat kerja betul-betul ni?! Berbaloikah syarikat menghabiskan beribu-ribu ringgit menampung kos penerbitan buku jenis ini?”

Lalu dengan hati yang berat dan penuh tekad, dia berhadapan sekali lagi dengan bos bertegas dengan pandangan pertamanya dulu. Syukur bos menerima pandangannya kali ini. Senyum sambil melihat jadual produksi seterusnya.
Mahu tulis dengan gaya sendiri? Tidak mahu ikut gaya rumah penerbitan? Boleh? Mari saya beritahu rahsianya…

Terbit sendiri dan jual sendirilah. Mudah bukan! 🙂

Mahu terbit sendiri tetapi tidak tahu pula caranya?

Tidak tahu kos?

Tidak pasti dengan idea sendiri boleh jual ataupun tidak?

Gaya penulisan jenis mana yang sesuai? Apakah indeks kebolehbacaan?

Apakah cara menulis yang mudah dan berkesan?

Jom! ikuti TIP MENULIS daripada saya dalam website ini dan anda juga boleh ke http://www.akademipenulis.com/ bagi mendapatkan pelbagai info berkaitan penulisan buku.

Siapa saya? Saya bekas editor di PTS Media Group. Perpengalaman menangani beratus-ratus manuskrip selama 8 tahun. Pakar menyunting buku-buku ilmiah :).