Ramai ibu bapa yang mahu anak mereka menghafal al-Quran. Dari kecil sebelum masuk tadika sudah diterapkan dengan al-Quran dan sudah hafal surah-surah. Ada juga yang sudah hafal berjuzuk-juzuk sebelum masuk sekolah lagi. Mengapa? Kerana ramai yang tahu akan kelebihan penghafal al-Quran di dunia dan akhirat.

Saya juga antara ibu bapa yang mahu anak-anak hafal Quran. Bukan sekadar hafal tetapi menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, faham apa perintah dan larangan Allah, menjadikan al-Quran ‘teman’ sepanjang hidup demi meraih redha Ilahi dan juga harapan mendapat syafaat Quran itu di akhirat kelak.

Saya cuma mahu berkongsi apa yang saya dapat dari pemerhatian saya sepanjang membesarkan anak-anak yang belajar dalam sistem yang ada silibus hafalan Quran.

Anak-anak saya seperti anak-anak biasa yang lain. Mereka tidak dipaksa menghafal sebelum tadika. Mereka hanya mula menghafal ayat-ayat lazim biasa di tadika dan kemudian di sekolah rendah, mengikut silibus sekolah. Hafalan mereka pun tidak selaju mana, tetapi tidak juga ketinggalan, sedang-sedang elok saja sesuai dengan ketetapan sekolah.

Anak sulung pada tika ini sudah habis tingkatan 2 di sekolah SMISTA, bawah MAIWP. Pada usia dia di sekolah rendah, kesungguhan menghafalnya tidak begitu nampak. Hafal kerana disuruh. Itupun selalu saja culas. Namun selepas memasuki sekolah menengah dengan pengkhususan hafazan Quran, barulah nampak kesungguhannya dalam menghafal.

Di samping belajar pelajaran akademik lain, mereka di sana bergelumang dengan al-Quran kerana mereka perlu habiskan target hafalan mengikut tingkatan. Sekiranya tidak capai target, mereka akan dihantar ke Darul Quran pada cuti hujung tahun bagi memacu hafalan masing-masing. Maka, cuti hujung tahun tinggal pendek saja.

Anak-anak usia menengah ini sudah lebih matang menguruskan dan mengatur waktu menghafal. Walaupun pulang bercuti, mereka sendiri akan aturkan masa murajaah tanpa disuruh. Dan yang menarik hati saya, antara perkara yang paling diingati apabila bersiap-siap mahu travel ke mana-mana adalah al-Quran. “Ibu, nampak Quran?”, “Ibu, ada bawa Quran kecil?” itu antara persoalan yang selalunya diajukan bila mahu bertolak. Sejuk perut ibu mengandung. Alhamdulillah. Moga dirimu dan al-Quran sentiasa bersama hingga akhirat.

Namun, jangan bayangkan anak saya itu sepanjang masa dengan Quran. Dia seperti mana remaja-remaja biasa lain juga. Selalu main hp, games, dan berinteraksi dengan kawan-kawan di IG serta wasap. Ibu biasa seperti saya juga tidak mampu menghalang mereka daripada berseronok suka dengan rakan-rakan di internet dan hp. Namun antara usaha saya menyediakan perisai iman anak-anak bagi menghadapi dunia akhir zaman yang penuh fitnah ini adalah dengan mendekatkan diri kepada al-Quran, ilmu agama, surau, ceramah-ceramah agama di masjid dan sentiasa berpesan tanpa jemu (terkadang membebel jadinya) tentang apa saja yang membawa kebaikan kepada mereka. Semoga Allah menerima usaha saya yang kerdil ini, selebihnya saya serahkan kepada Allah bagi memelihara anak-anak dan iman mereka.

Kesimpulannya, sekiranya anak-anak kecil lambat dapat dalam menghafal Quran, jangan terburu-buru dan terlalu memaksa. Paksa sikit-sikit ok. Ini kerana apabila sampai masa dan ketika, sampai tahap matang, berada dalam persekitaran yang betul, mereka dengan sendirinya akan berusaha meningkatkan hafalan seterusnya khatam. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha mereka dan memberi kekuatan kepada mereka menjaga hafalan sepanjang hayat kerana Allah.