Buat stok ikan bilis ini tujuannya memudahkan kita ibu-ibu menyediakan makanan bayi. Ada kala mahu cepat. Tidak dapat berlama-lama di dapur.

Apabila ada stok ikan bilis atau stok ayam, lebih mudah. Campur saja dengan bubur, nasi lembik, sup dan sebagainya makanan bayi itu sedap dan berkhasiat.

Kali ini saya cerita stok ikan bilis. Lain kali kita cerita stok ayam.

Rendam ikan bilis di dalam air semalaman dan letak di dalam peti ais. Keesokannya, tapis ikan bilis dan bilas. Sangai di atas api perlahan hingga ikan bilis kering dan agak rapuh.

Kemudian kisar ikan bilis yang siap sangai tadi. Selepas itu tapis dan ambil serbuk ikan bilis yang halus saja untuk dijadikan stok bilis makanan bayi. Serbuk yang kasar boleh digunakan untuk makanan orang dewasa, tidak perlu buang.

Simpan stok bilis bayi dalam bekas dan letakkan di dalam peti ais. Sedia untuk digunakan.