Penyakit gastrik ada beberapa jenis, keadaan dan peringkat. Kebiasaannya apabila orang mengatakan mereka mengalami gastrik ia merujuk kepada gastritis iaitu keradangan lapisan mukos yang melapik dinding perut. Gastrik yang teruk melibatkan sel perut yang lebih dalam atau ulser perut.

Bulan ramadhan baru-baru ini saya turut mengalami rasa sakit bahagian perut. Selepas berjumpa doktor dan diberikan rawatan gastrik, perut pulih kembali. Kemudian baru-baru ini rasa sakit bahagian amdomen kembali, dan saya mula mencari puncanya. SUdah pasti puncanya berkaitan dengan gaya dan corak pemakanan. Nescafee antara minuman kegemaran saya, dan saya perasan selepas meminumnya pada petang itu, perut terus meragam pada sebelah malamnya. Mula rasa tidak selesa, sendawa, perut berangin. Saya terus meminum sesudu besar minyak zaitun. Alhamdulillah usaha saya berhasil dan rasa sakit perut semakin reda dan membolehkan saya tidur pada malam itu.

Lalu keesokkanya saya lebih prihatin dengan apa yang saya makan. Cuba elak minuman berkafein, berempah, pedas dan makanan berasid lain. Bila lapar selalunya saya makan roti, kini saya sediakan buah-buahan. Saya perlu ubah gaya pemakanan. Lebihkan makanan beralkali berbanding yang berasid. Ubahlah selagi kita ada peluang.

Tadi bertemu kawan lama, beliau kelihatan cengkung. Apa yang berlaku? Dia kehilangan 10 kg dalam masa singkat akibat gastrik peringkat kronik. Jadi, ayuh! peliharalah kesihatan sementara ia masih elok.