Apabila memandu kita cuba mengikut peraturan. Apabila berada depan manusia lain kita cuba menjaga tingkah laku dan akhlak. Bersama kawan-kain lain ragam kita, bersama ibu ayah dan guru sopannya semacam. Bukan main bersungguh kita menjaga kaki, tangan, lidah kita daripada melakukan dosa. Mengapa begitu? Ini semua kerana kita terikat pada, ‘apa kata orang nanti’, ‘takut didenda’, ‘nanti dicap kurang ajar pula’, dan ‘berdosa pula, bukankah nabi melarang tuhan tidak suka’, dan bermacam-macam lagi alasannya. Dan yang terbaik melakukan sesuatu atau mengelakkannya itu kerana perintah Tuhan.

Cabaran yang lebih besar dan ramai yang gagal melaluinya adalah, mengawal hati. Jasad yang zahir atau nampak lebih mudah dijaga berbanding hati yang bersifat batin itu. Mengikut peraturan jalan raya ketika memandu lebih mudah daripada menahan hati memaki pemandu yang membelok tanpa memberi isyarat, menahan lidah daripada berkata-kata yang tidak elok lebih mudah daripada menahan hati daripada berkata yang tidak sepatutnya. Bak kata, hati yang tidak ada orang yang lihat, tidak ada pengawal ini sangat susah dijaga melainkan bagi mereka yang benar-benar tahu akan hakikat Pencipta hati itu.

Saya sendiri banyak kali mahu menulis pada status fb, mahu upload gambar itu ini, namun dibatalkan saja hasrat itu. Mengapa? Ini kerana bimbang posting tertentu menimbulkan ‘sesuatu’ yang tidak sepatutnya wujud dalam hati seorang mukmin. Ada kala posting kita itu hanya untuk suka-suka, namun komen-komen yang muncul mudah memesongkan hati sama ada komen-komen itu bersifat pujian mahupun makian walaupun kita tidak mengundangnya.

Apa yang ditulis di fb hanya dipos selepas difikirkan masak-masak kesannya. Ini kerana hati ini tidak kuat. Hati ini dalam proses penyucian dan tidak mahu lagi ditambah daki-daki baru. Cuba juga menulis, tetapi hanya tulisan-tulisan bersifat nutral, berkongsi untuk tujuan dakwah, mengelak seboleh mungkin mendedah hal-ehwal peribadi. Ini semua kerana mahu jaga hati, mahu hati kembali bersih, jernih dan sampai nur taufik dan hidayah Allah, mahu hafal kalam Allah sebanyak-banyaknya sebelum ‘pergi’, mahu memberikan senyum ikhlas dari hati yang jernih kepada keluarga tercinta, mahu menjaga ‘seketul daging’ yang satu ini sebaik-baiknya, mahu mengembalikan kepada penciptanya dalam keadaan BERSIH dan JERNIH seperti mana mula dipinjam dulu.