Setiap ibu yang mengandung punya cerita sendiri. Punya kisah yang hanya dia tahu menghargainya. Saya suka cerita saya sendiri dan mahu abadikannya di sini.

Kandungan kelima sangat berbeza dan istimewa berbanding empat yang terdahulu. Mengapa? Kerana mengandung kali ini diuji dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan.

4 bulan awal, standard biasa mabuk teruk. Minggu ke-11 pergi ke KK untuk buka buku pink. Kelihatannya prosedur pemeriksaan ibu mengandung pada masa ini lebih komplikated. Kalau dulu suami tidak perlu cek darah untuk HIV. Sekarang kena.

Dulu tidak pula perlu tunjuk kad kahwin. Sekarang anak kelima pun kena tunjuk kad kahwin baru boleh buka buku pink. Dan macam-macam lagilah. Penat juga tambahan pula kita sedang mabuk.

Kali pertama jumpa doktor untuk pemeriksaan, beliau sudah dapat kesan ada yang tidak kena dengan jantung saya. Beliau meminta saya menceritakan apa masalah yang saya alami dan saya menceritakannya dengan detail. Beliau mencatatkan semuanya.

“Jantung kelihatannya bekerja keras. Saya akan buat surat rujukan combine clinic di HKL. Ke sana nanti bawa surat dan jalankan pemeriksaan lanjut.”

Bermula hari itu, temu janji klinik dan hospital semakin banyak kerana disahkan mengidap Gestational Diabetes Mellitus (GDM) dan kemudiannya Kebocoran Injap Jantung atau lebih spesifik Rheumatic Heart Disease.

Bagi ibu-ibu yang punya masalah kesihatan ketika mengandung, anda tidak keseorangan. Kita ambil semangat daripada mereka yang pernah harunginya dan kita perlu kuat untuk diri dan keluarga kita.