Dalam hidup ada masa kita kuat, semangat. Tetapi resam kehidupan ini ada naik ada turunnya. Ada masa kita akan rasa hilang semangat. Hilang harapan. Takut. Risau. Bimbang. Terfikir mati saja penyelesaiannya. Tetapi yakinkah kita hidup selepas mati itu manis-manis saja? Oh! takut juga kerana tidak pasti bagaimana rupa kehidupan selepas mati nanti. Bimbang pun bertambah.

Sebenarnya kita takut apa? Bimbang apa?

Bila direnung-renungkan kita bimbang akan masa depan, mungkin. Takut kehilangan harta kerana tidak mampu bayar pinjaman, mungkin. Risau anak-anak tidak cemerlang akademik lalu mereka hilang masa depan yang cerah, mungkin. Bimbang pasangan beralih arah, mungkin. Bimbang kerja tidak siap, kerja tidak cemerlang, kena marah bos, malu, hilang maruah dan keyakinan diri. Bimbang tidak mampu bayar hutang perniagaan, lalu hilang pembekal, hilang pelanggan, hilang staf, hilang syarikat, MUNGKIN. Bak kata baaaaanyak KEMUNGKINAN. Dan kemungkinan itu kebanyakkannya melibatkan KEHILANGAN. Kita sangat takut akan kehilangan.

Tahukah bagaimana mahu buang rasa bimbang dan takut kehilangan ini?

Kembali kepada Tuhanmu.

Pemilik sebenar segala yang ada di atas muka bumi ini adalah Allah. Kita siapa? Kita bukan siapa-siapa. Kita miskin. Kita bukan pemilik kepada pasangan. Bukan pemilik kepada anak-anak. Bukan pemilik perniagaan kita. Bukan pemilik harta benda kita. Malah diri kitapun bukan milik kita. Semuanya MILIK DIA. Dia hanya memberi kita PINJAM. Pinjaman yang bila-bila masa boleh diambil kembali. HILANG daripada kita bermakna, kembali kepada pemiliknya.

Kita hanya perlu menjaga amanah yang dipinjamkan dengan penuh tanggungjawab. Jaga baik-baik supaya apabila diambil kembali oleh pemiliknya, ia berada dalam keadaan baik. Lalu kita tidak dipersoalkan sehingga tidak terdaya menjawabnya. Apabila diberikan pinjaman itu, kemudian kita menjaganya dengan baik seperti yang Dia mahu, seterusnya apa?

Seterusnya bersedialah akan KEHILANGANNYA pada bila-bila masa dan di mana jua termasuklah HILANG NYAWA sendiri. Apabila mental kita bersedia menghadapi kehilangan, dan terima akan kenyataan ‘suatu masa ia akan HILANG dan kembali kepada Penciptanya’, kita akan rasa lapang dada dan dapat melangkah menghadapi hidup dengan penuh tawakal dan bergantung sepenuhnya kepada Dia.

Penulis: Nurulhilyati