Belajar membuat pola baju memerlukan pelajar mengukur dengan tepat serta menggunakan formula dan petua yang diberikan oleh guru jahitan dengan betul.

Kata guru, di sini perlu ditambah 2 inci untuk keselesaan, di sana perlu dinaikkan 1/2 inci dan di situ perlu turun 1 inci. Mengapa begitu? Tidak faham? Ikut saja kata guru, jangan berdegil. Faham akan datang kemudian, iaitu apabila baju sudah siap dijahit nanti kerana bendanya sudah nampak fizikal bajunya sudah dapat dipegang.

Dalam konteks ini guru itu pakar dalam bidangnya, maka pelajar itu wajib ikut apa yang diarahkan walaupun tidak faham implikasinya. Tidak dapat nampak gambaran keseluruhan pada awalnya. Sekiranya berdegil tunggulah, baju yang siap tidak dapat dipakai.

Dalam kehidupan, ikut saja apa Allah suruh tinggal apa dilarang walaupun tidak sampai logik akal kita yang kerdil ini memikirkan sebab akibatnya. Mengapa? Kerana Dia Maha Tahu. Tahu segalanya. Dia tahu masa depan kita, dia tahu hidup selepas mati.

Maha Baiknya Dia membekalkan kita al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Pegang kejap-kejap dalam melakar pola kehidupan kita supaya hasilnya di akhirat nanti menggembirakan.