Sebulan lagi akan admit IJN untuk pembedahan injap jantung. Pada tahap ini saya rasa lapang dada dan minda. Mengapa? Bukankah lebih hampir dengan ‘big event’ itu lebih takut dan bimbang. Tidak. Ini kerana saya rasa puas hati dengan tahap info dan maklumat yang saya ada berkaitan penyakit rheumatic heart disease ini dan pembedahan jantung yang bakal dijalankan nanti.

Apa saya sudah buat selama berbulan-bulan ini? Pada awalnya saya sangat blur dengan apa yang cardiologist maklumkan berkenaan penyakit rheumatic ini. Segala terminologi yang digunakan dan report rawatan yang tertulis begitu asing pada pendengaran dan pengetahuan saya. Keliru bertambah. Bimbang dan takut tidak tercerita kepada sesiapa pun hatta suami sendiri. Ini respons biasa, sesiapa pun yang tiba-tiba disahkan berpenyakit kronik agak tidak popular ini akan rasa begitu.

Perasaan ingin tahu saya tidak tertahan. Saya tanya doktor pelbagai perkara dalam sesi temu janji. Saya cuba cari pesakit yang sama dengan saya dan alhamdulillah bertemu seorang. Itupun kebetulan kami duduk katil sebelah menyebelah semasa bersalin di Wad Pemantauan Rapi, HKL.

Saya sertai support group FB khusus untuk pembedahan injap jantung mitral, warfarin support group, zipper club, open heart surgery support grup dan sebagainya. Kemudian saya baca beberapa jurnal berkaitan. Kemudian saya kaji dan google surgeon yang akan bedah jantung saya dan kelihatan beliau sangat berpengalaman. Ini menambah keyakinan saya untuk menjalani pembedahan ganti injap jantung.

Di samping itu saya baca dan beli e-book berkaitan yang ditulis oleh pesakit injap jantung juga. Subscribe e-mel berkenaan. Google terminologi yang tidak difahami bagi mencerahkan minda sendiri yang sebelum ini kabur.

Betul, kebimbangan dan ketakutan akan pergi apabila kita ada ilmu. Bimbang dan takut wujud apabila banyak perkara tidak jelas dan tidak tahu. Maka, gali dan gali sebanyak ilmu yang mungkin hingga kita puas! Perlahan-lahan keyakinan akan wujud, dada dan fikiran semakin lapang.

Bukan untuk orang lain, bukan untuk suami, bukan untuk anak tetapi untuk diri sendiri, nyawa sendiri yang sudah tentu amat berharga.

Selebihnya kita ikut arahan pakar. Paling utama mohon kepada Allah apa jua yang kita mahukan. Rasa bimbang? Cerita pada Dia. Rasa takut? Luah pada Dia. Tidak cukup duit untuk rawatan? Minta pada Dia. Tidak tahan sakit? Mengadu pada Dia. Ini kerana Allah Maha Kaya, Maha Mencukupkan dan maha segala-galanya.