Biasanya selepas solat maghrib ibu pegang Quran, mereka lebih mudah diajak mengaji.

Mencabarnya bila ibu ABC, Allah Bagi Cuti. Sekali suruh mengaji, masih berguling. Dua kali suruh, pegang hp pula. Tiga kali suruh campur membebel, baru bangun. Terkadang penyangkut baju naik juga bila ibu mahu cepat dan tidak sabar. Maaflah. Teori-teori keibubapaan terbang seiring dengan sabar itu 🙂

Masuk saja ayah ke dalam bilik dengan hanya berkata, “Hey!”, semua terus langkah mengambil Quran. Sesaat kemudian berdengung-dengung bunyi mengaji.

Oh! Anak..

Nampak bukan, peri pentingnya ayah dalam melancarkan pendidikan anak-anak.

Wahai! Suami-suami ayah-ayah. Sesibuk mana pun bekerja, lihatlah zuriat-zuriatmu. Mainkan peranan mendidik dan membimbing mereka bersama-sama pasanganmu.

Keputusan peperiksaan terbaik, boleh tunjuk di FB. Tetapi jangan lupa periksa juga perkara-perkara lain yang hasilnya tidak tercatat di atas kertas keputusan itu. Bagaimana solat mereka? Lancarkah mengaji? Akhlak dan adab secara praktikal?  Dan nilai-nilai lain yang patut ada pada individu Muslim. Jangan lepaskan semuanya pada isteri dengan alasan suami sudah penat mencari rezeki, isteri lebih pandai dan pelbagai lagi alasan.

Tidak hairanlah apabila anak remaja yang bermasalah di luar sana berasal daripada keluarga yang berpecah ibu ayahnya. Ini kerana membentuk jiwa yang dikehendaki tuhan memerlukan sentuhan kasih ibu dan ketegasan seorang ayah.

Namun, ramai juga ibu-ibu tunggal yang saya kenali berjaya mendidik anak-anak mereka tanpa kehadiran pasangan. Sama ada akibat bercerai mahupun kematian. Saya pasti hubungan mereka dengan Allah luar biasa. Ini yang menghasilkan kekuatan luar biasa untuk mereka menjaga, mendidik, membimbing sekali gus berfungsi sebagai ibu dan ayah.