Selepas selesai mendapat surat rujukan daripada Dr. Munis MFM HKL tanpa berlengah terus ke IJN. Ini kerana masa temu janji akan bermula dalam 15 minit lagi.

Beruntung kerana jarak HKl dan IJN begitu dekat. Proses pendaftaran dilakukan dengan mengisi segala borang berkaitan. Pesakit mesti membayar deposit RM800 dan selepas segala proses itu selesai pesakit akan diberikan fail hijau besera kad temu janji.

Data asas diambil seperti berat badan, ketinggian, oksigen dalam badan dan tekanan darah.

Selepas itu pesakit diarahkan ke bilik khusus untuk buat ECG.

Selepas selesai ECG saya diarahkan untuk menjalankan ujian Echo. Pegawai yang mengendalikan ujian ini kelihatan professional dan ujian ini dilakukan dengan lebih terperinci berbanding ujian Echo di tempat lain yang pernah saya jalani.

Kemudian tiba masa dipanggil untuk berjumpa kardiologis. Doktor yang merawat saya bernama Dr. Leong. Sangat baik kemahiran komunikasinya.

Pada awal pertemuan beliau bertanyakan beberapa soalan asas bagi mengesahkan maklumat diri pesakit seperti usia kandungan, kitaran haid normal ataupun tidak sebelum ini dan sebagainya.

“Puan tahu sejak bila ada masalah jantung ini?”

“Masih baru, sejak saya mengandung. Itupun tahu sikit saja tidak secara detail kerana 2 kardiologis di tempat lain yang saya pernah temui sebelum ini tidak menerangkan secara terperinci kondidi jantung saya” jelasku panjang.

“Kondisi jantung ini memang ada masalah. Injap sudah pecah. Lihat di sini.” Beliau membetulkan skrin komputernya supaya kami suami isteri rapat melihatnya.

Terpapar rakaman scan jantung yang diperoleh semasa ujian echo tadi. Lalu beliau menunjukkan injap yang sedang bergerak itu sudah tidak normal keadaannya.

“Injap bocor atau pecah ini disebabkan oleh jangkitan kuman suatu masa dulu. Kuman itu pun sudah tiada sekarang. Ini kesan yang ditinggalkan. Injap ini perlu dijahit semula. Ia perlu dibaiki segera. Tapi puan sedang mengandung 7 bulan kita tidak boleh buat apa-apa pembedahan kerana sangat berisiko. Ubat untuk support jantung pun tidak boleh diambil dengan dos sepatutnya. Sekarang ini kita hanya boleh berharap jantung itu mampu bertahan hingga tiba waktu bersalin nanti,” jelas beliau panjang lebar.

Kami suami isteri senyap tidak berkata apa-apa kerana penerangan beliau sangat jelas.

“Sekiranya berlaku apa-apa kecemasan kita akan selamatkan puan dulu. Baby tidak apa sebab dia belum lahir lagi.” Hati ibu yang bersusah payah menjaga kandungan hingga ke tahap ini agak tersentuh dengan pengakuan doktor itu. Masakan tidak, menempuh hari-hari mabuk 3 bulan pertama sudah cukup perit tidak tertanggung. Diikuti pula dengan masalah GDM dan jantung. Mengandung kali ini betul-betul mencabar. Harapan melihat bayi lahir dengan sihat itulah yang paling diinginkan.

Selepas itu beliau melakukan pemeriksaan fizikal ke atas diri ini.

“Kaki bengkak sedikit.” Apabila darah tidak dapat bergerak sehala di dalam jantung akibat injap bermasalah kemungkinan untuk paru-paru berair dan bengkak kaki akibat water retention sangat tinggi.

Simptom yang sangat jelas untuk masalah injap ini adalah pesakit mengalami dada berdebar, pernafasan sering terganggu dan cepat letih.

“Kita memang tidak boleh buat apa-apa.” Ayat ini diulang banyak kali dengan nada yang agak kecewa dan membimbangkan.

“Puan kena jaga jantung dan rehat secukupnya sehingga bersalin. Itupun minggu ke-34 kita akan lihat semula tahap jantung. Kemungkinan bersalin awal itu ada.”

“Sama ada bersalin normal atau pembedahan belum tahu lagi. ICU perlu disediakan.” Menakutkan apabila dengar penjelasan begitu.

Tetapi lebih baik beliau berterus terang segalanya walaupun pahit untuk diterima daripada kita sebagai pesakit tidak tahu akan keadaan sebenar dan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Pembedahan untuk baiki injap jantung perlu dijalankan selepas habis berpantang. Selepas bersalin tidak boleh kerana badan terlalu lemah untuk menjalani pembedahan.”

“Puan perlu bayar 90 ringgit untuk gunakan holter di rumah. Esok puan kembalikan holter ke sini.” Tiba-tiba jururawat bersuara. Lalu saya memohon penerangan lanjut berkenaan alat itu kerana tidak pernah menggunakan sebelum ini.

“Saya tidak dapat guna alat itu lagi doktor kerana malam ini saya terpaksa balik Kedah kerana proses pindah rumah. Iring lori barang dan kemas rumah yang dijual itu,” jelasku.

“Keadaan jantung puan teruk begini mana boleh travel, apa lagi kemas rumah, angkat barang pindah barang dan sebagainya. Suruh abang sorang buat puan tinggal di rumah dengan anak-anak, cukuplah.” Doktor membangkang dengan hujahnya yang semestinya betul.

Namun saya tiada pilihan kerana isu pindah ini perlu diselesaikan segera.

“Selesai semua minggu depan saya berehat.”

“Puan kena jaga jantung itu sekarang. Takut apa-apa terjadi nanti susah.”

“Ya, baik. Saya tidak buat apa-apa kerja hanya memantau saja.”

Celah suami, “Balik kampung sambil santai-santai dengan keluarga saja.”

“Kalau begitu Isnin depan datang ke sini ambil holter.” Doktor mengalah jua.

Saya bersetuju.

“Bagaimana dengan kos pembedahan? Boleh saya dapatkan anggarannya?” tanyaku.

“Berkenaan hal itu puan tidak perlu fikir lagi. Nanti macam-macam mahu fikir susah pula. Puan gembira dan tenang-tenang dulu suapay bayi pun gembira. Kalau susah hati nanti akan berikan kesan tidak baik pada emosinya. Baik, kita jumpa semula bulan depan.”

“Baik. Terima kasih doktor.”

Selepas selesai sesi consultation itu, suami menyelesaikan bayaran di kaunter dan keluar ke tempat parkir kereta. Masing-masing tidak banyak komen cuma apa yang boleh saya katakan, “Tidak mengapa, Allah sudah atur begini, kita terima saja.”