Pagi tadi tumis sambal ikan bilis sambil dengar ceramah Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa berkenaan, ‘Istighfar untuk segala kerunsingan’. Nak kongsi pengalaman melahirkan si bongsu. Kisahnya begini…

Sudah 3 hari menahan contraction. Laluan tidak juga bertambah, tetap 3cm sama saja sejak mula dimasukkan ke wad. Sekejap contraction kuat, sekejap ringan.

Setiap hari kena pasrah diperiksa laluan kelahiran oleh doktor. Sehari kadang-kadang lebih daripada sekali diperiksa, siap kena ‘mulut itik’. Aduh! Ibu-ibu semua tahu kan bagaimana rasanya.

Masuk hari ketiga otak lebih serius memikirkan akan persoalan ini, “Untuk dosa yang mana satukah?” namun tiada jawapan. Tiada siapa dapat membantu dalam keadaan begini, hanya Dia saja tempat bergantung.

Bilik solat kecil di wad bersalin itu dijadikan tempat untuk solat sunat taubat dan hajat. Hari ketiga ini lebih serius dalam memohon keampunan.

Apabila teringat masalah kesihatan sendiri dan risiko kematian ibu anak hingga 15% bertambah-tambah juga rasa gerun.

“Ya Allah, andai hal ini berlaku disebabkan ada dosa-dosa yang tidak terampun, jangan engkau jadikannya penghalang kepada proses bersalin ini. Aku memohon keampunanmu, Ya Allah atas dosa itu. Aku makhluk yang lemah dan selalu lalai dan tidak sedar akan salah silap sendiri. Ampuni aku dan padamkan kesilapanku ya Tuhan Engkau Maha pengampun. Permudahkan urusan melahirkan anak ini ya Allah.”

Melangkah ke katil sambil berfikir mahu serius istighfar malam ini sebelum melelapkan mata dengan doa esok dipermudahkan urusan bersalin.

100… 200.. 500.. 1000 .. 1500.. 2000… kali istighfar tanpa gangguan. Supaya tidak keliru membilang dan mencapai target, pen dan buku kecil digunakan bagi mencatat bilangannya. Kali ini memang serius!

Selepas bilangan istghfar mencecah 2000, mata mula mengantuk. Lalu istighfar dihentikan dan mula membaca surah al-mulk.

Selesai semuanya, terus terlelap. Setiap jam terbangun kerana contraction terasa lebih kuat daripada biasa. Namun masih tenang. Perkara sama berulang hingga subuh.

Sebaik bangun tidur, berasa ada bendalir hangat yang banyak membasahi kain. Ketuban pecah! Ini tanda yang baik. Alhamdulillah.

Capai beg ubat dan telan segala ubat yang perlu supaya dapat menghadapi proses labour dengan lebih lancar dan mengurangkan komplikasi lain.

Dua jam kemudian selepas berhempas-pulas menahan kesakitan, mengumpul segala kekuatan dan kuderat yang ada, Muhammad Zaid Rizqi bin Fauzul Na’im selamat dilahirkan.

Alhamdulillah … alhamdulillah… terima kasih Tuhan atas rahmat dan kasihmu kerana terus memelihara hamba-Mu ini. Cukuplah Allah bagiku. Moga dosa-dosaku terampun.

Maka, ayuh kita beristighfar selalu..