Pernah dalam hidupmu ada saat dan ketika rasa diri tidak dapat dibantu. Tidak dapat ditolong oleh mana-mana makluk lain. 

Malam yang ditempuh rasa sangat panjang. Ada rasa tidak sabar mahu jumpa mentari esok pagi, mahu tahu apa takdir dan ketentuan perjalanan hidup esoknya. Apabila difikirkan sekali lagi, takut, bimbang semuanya ada. 

Kala itu, kala engkau rasa dirimu tiada siapa dapat menolong, engkau pasti mencari dan mengharap pertolongan Tuhanmu semata-mata. 

Pada sepertiga malam, di kala mata dan badanmu selalunya enak menikmati tidur, kini mata tidak mahu pejam. Badan dan segala sendi dengan ikhlas bekerja memberi ruang kepada roh merintih di hadapan Penciptanya.  Tidak puas-puas menceritakan segalanya kepada Dia. Meluahkan kebimbangan dan menadah tangan berdoa penuh pengharapan.

Maka, tatkala engkau sudah melepasi ujian kesusahan dan kembali senang, tenang, pegang dengan kejap-kejap momen tika rasa dirimu tidak terbantu dulu. Siapa ada ketika itu? Tuhan saja. Tuhan semata-mata.

Dia tidak memberikan ujian semata-mata, malah bantuan turut dikirimkan sebagai tanda kasihnya Dia hingga engkau mampu bangkit kembali. 

Jangan sesekali engkau lupa saat sukar itu supaya engkau tidak mudah hanyut, lupa, leka, dan alpa daripada mengingati Tuhanmu. Supaya engkau tidak sombong kerana sombong itu hanya milik Dia.